Sunday, December 7

Hariuku.

Aku amat menyukai kanak-kanak. Kesukaan ku ini, hanya Allah sahaja yang mengerti. Cewah.
 
Selepas habis sahaja praktikal ku di Sekolah SRAI 19, Shah Alam pada bulan 4 awal tahun haritu. Aku duduk dirumah. Untuk berkhidmat pula bersama orang tuaku.
 
Ya, aku kini seorang guru. Guru bahasa Inggeris. Dan SRAI 19, adalah singkatan bagi Sekolah Rendah Agama Integrasi 19, Shah Alam.
 
Aku mengajar subjek yang rata-rata pelajarnya benci akan subjek ini. Iyalah, Bahasa Inggeris bukan seperti Bahasa Melayu. Mudah difahami. Bahasa Inggeris ni seakan Bahasa Arab. Nahunya yang begitu banyak dan memeningkan kepala! Tapi apakan daya, English juga satu bahasa Allah yang indah sekali. Ianya juga satu bahasa yang seharusnya diajar kepada anak-anak kecil ini. Kelak, moga dengan bahasa ini, kita berkhidmat terus untuk Islam. Amiin.
 
Aku juga seorang guru yang tegas. Tegas dengan anak muridku. Bayangkan tiap kali masuknya aku didalam kelas, aku menyuruh mereka berdiri untuk quiz topik yang lepas. Memang terkadang, anak-anak muridku geram sekali dengan aku. Haha. Maafin. Untuk kebaikan kalian juga. InshaAllah.
 
Terkadang, saja aku buat kelupaan. Supaya anak-anak murid ini tidak tertekan dengan pelajaran Bahasa Inggeris dan kelas aku lebih ceria pada pertengahannya berbanding awalnya. Hee. Biasalah guru baru nak sesuaikan diri.
 
Suara ku sering kali tenggelam di lautan little caliph ini T__T Sampaikan aku berhajat ingin membawa microfon ke sekolah! :p Tapi Ummi pula sering mengatakan, nanti pecahlah suara tu. Dan ya! Pecah juga suaraku akhirnya. Eh, bukan bererti sudah baligh T_T lebih kepada boleh menjerit dengan kuatnya!
 
Untuk kehilangan suara, dan tekak pecah itu sudah norma bagi aku. Kadang ingin menelan air liur juga aku tidak mampu. Sakitnya, ya Allah! Disaster kata orang English :p tapi berkat doa umi ayah, tekak ku pulih sedia kalanya. Setiap kali terjadi, setiap kali itu jugalah pulih. Alhamdulillah.
 
Aku juga mengajar Tajwid. Membuat soalan Tajwid untuk darjah 5, betul-betul menguji kesabaran seorang guru. Dengan ketua panitia yang inginkan soalan seperti kacang ABC, ada pula yang mengatakan berikan aja soalan seperti mengigit daging yang seakan batu kerasnya. Dan anak murid pula bingung dengan identiti aku. Teacher ke Ustazah ni? Sampaikan ada yang memanggil ku cherzah. Combination antara teacher dan ustazah T__T
 
Beginilah seorang guru. Kamu akan diberi subjek yang entah bukan pun subjek kamu. Kamu akan disuruh buat kerja yang entah bukan pun pekerjaan kamu. Dan kamu bukan sahaja mengajar, mendidik, malah menjaga anak-anak ini supaya sentiasa di landasan yang betul.
 
..
Pernah dua kali aku kena demam. Satunya demam panas, satunya lagi demam denggi. Demam panas rentetan suaraku yang hilang dan juga tekakku yang berdarah, pecah. Demam denggi? Haruslah dari nyamuk-nyamuk yang berkeliaran entah dari mana. Anak-anak muridku seperti cacing kepanasan.2 hari aku tidak hadir kesekolah. Tak mampu. Hari ketiga aku hadir seperti sediakala, tetapi dengan suara yang tidak langsung kedengaran. Mampu menulis sahaja. Anak-anak murid aku pada waktu itu, ya Allah! Baiknya seperti bidadari-bidadari kecil yang sedang baru dilahirkan. Aku seakan tidak percaya apa yang Allah berikan. Alhamdulillah!
 
Ada yang datang membawa kuih, ada yang datang membawa air panas. Ada juga yang datang menolong membawa barang-barang kemana-mana sahaja aku pergi. Bukanlah selama ini tidak ada, cuma tiadalah sampai membelikan aku makanan. Jadi orang tukang cakap aku. Haha. Comel sekali.
 
Aku ingat lagi, saat aku tidak ada suara. Aku ke kantin. Menunjukkan air teh o limau kepada pakcik itu. Tetapi pakcik itu seakan tidak faham. Tiba, datang seorang anak murid aku. Ticer nak beli apa? Air ke? Aku senyum lalu mengangguk. Dia lantas ke pakcik. Pakcik, ticer Husna nak air! Pakcik memandang aku dan aku senyum lalu mengangguk. "Air apa? tanyanya pakcik. Si anak murid aku ini terus memandang aku. Aku cuba untuk cakap tapi tiada suara. Ah, tensi! aku menunjukkan air yang aku inginkan. Tetapi yang paling aku takjubnya ialah, budak itu terus cakap, Ohh, air teh o limau satu pakcik! Pakcik itu memandang aku dan aku memberikan anggukan sekali lagi. O Allah, you ease me. Alhamdulillah. Budak itu senyum. Dan tanya lagi, betul kan cikgu? Saja untuk kepastian. Aku mengangguk sambil tersenyum kepadanya. Pelik, gimana dia tahu limau itu sedangkan limau harus diambil di dalam untuk diperah sendiri. Haha. Ingin sahaja aku bertanya bagaimana tahu? Tapi apakan daya, aku juga tidak mampu. Aku menepuk2 bahunya. Tanda terima kasih. Si Aman tersenyum bahagia. Lalu bertanyakan jika ada apa-apa yang aku inginkan lagi pertolongannya. Aku menggeleng. Tanda tiada apa-apa lagi. Alhamdulillah. Mahu sahaja aku menangis waktu itu. Tapi dengan kemachoaan yang ada, alhamdulillah sempat lagi ditapis-tapis.
 
Murni bukan mereka? Mereka mengajar aku untuk terus menjadi semurni yang mungkin. Sebaik yang mungkin. Alhamdulillah untuk semua nikmat yang ada.
 
Dan pada bulan 8, aku dipanggil kembali kesekolah yang sama untuk menggantikan guru yang bersalin. Guru bahasa Inggeris juga. Maka, datanglah sekali lagi untuk aku berkhidmat. Anak murid terkejut. Ingatkan bulan 4 itu adalah hari-hari terakhir mereka bersama aku. Sampaikan Danial katanya,
 
"Masa ticer nak pergi tu, hari last tu, saya menangis waktu balik. Sampai malam. Sampai emak saya risau sangat dekat saya. Saya tak suka cikgu English sekarang. Garang. Tapi ticer ada balik. Buat penat je nangis dulu. Kalau tahu, Danial tunggu ticer datang balik. Tak payah nangis. Nanti, baru nangis bila ticer nak pergi betul2"
 
Aku tersenyum. Membalas,

"Ticer pun tak tau ticer nak kena kena datang balik. Maafkan ticer ya?"
 
Dia tersenyum. "ya, takpe" Balas Danial sepatah. Lalu diajaknya aku berehat bersama-sama. 6 orang semuanya.  Kebetulan aku juga tidak punya kelas waktu itu. Aku mengekori mereka ke sebuah pondok terpencil dibelakang sekolah. Dalam fikiran aku, ligat sekali berfikir. Dah kenapa budak ni rehat dekat tempat pelik2 macam ni. Ya Allah! Kang ada ular semua kang macam manaaaa? Tapi terbantut, hanya dihati. Sesampai disana, aku terpegun melihat keindahan pondok itu. Ya, pondok yang begitu indah sekali. Di dalamnya terdapat nota-nota pelajaran. Haha. Memang macam cerita Harry Potter betul T_T Nyaman.
 
Ticer kalau rasa ticer boring, ticer datang la sini tanda kertas ke. Tanda buku ke. Kat sini takde sape berani datang. Sebab semua ingat ada hantu! Lalu mereka berenam ketawa sekuat-kuatnya. Aku juga turut ketawa. Mana datang nota-nota ni? Aku bertanya. Ala ambil aje dalam buku-buku nota abang2 dulu. Jawab salah seorang dari mereka. Darjah 3 baru mereka ni. Sewaktu praktikal, aku mengajar kelas mereka. 
 
Rifqi paling bising dan kuat bercerita. "ticer tau tak, lepas ticer pergi Hisham jadi lain sangat dalam kelas!" Aku bingung. Aku bertanyakan, "lain macam mana?" Rifqi membalas, dia jadi nakal sangatttttt! Semua cikgu marah tak suka dia. Yang lain mengiyakan. EH? Hisham dah la paling bijak dalam kelas bahasa Inggeris. Ya, pada awalnya dia antara pelajar yang paling aku aim. Kuat main, dan kuat loya buruk. Tapi selepas aku menukarkan tempat, dan lebihkan perhatian kepada dia, dia menjadi pelajar yang paling pandai dalam kelas English aku. Entah kenapa dia jadi begitu. Aku juga tekad untuk berjumpa dia selapas ini. Hisham, antara pelajar yang susah di dalam kelas aku. Bapanya hanya pemandu lori dan emaknya pula hanya pekerja kilang. Pakaiannya paling tidak bersih berbanding kawan yang lain dan songkoknya paling tidak kemas. Lusuh, sudah penyek, dan mukanya paling comot bercalar-balar. Kasutnya juga koyak. Allah~ Aku sejak mengetahui ceritanya di dalam buku repot, barulah tahu kenapa dia begitu nakal dan kuat loya buruk. Sememangnya dia butuhkan perhatian. Adik beradik ramai. Emak ayah bizi mencari rezeki. Pernah sekali dia menangis sekuat hati disaat orang tertumpahkan bekalnya. Kebetulan aku juga berada di kantin. Rupanya itu sahajalah makanan yang dia ada, tanpa ada duit ditangan. Lalu, aku belanjanya makan ditempat guru. Entah, mungkin sebab itu perangainya berubah, dengan baik sekali :')
 
Dan, pondok itu menjadi tempat singahsana aku selepas aku penat memberi ilmu ilmu kepada anak-anak murid. Dan ya, aku jumpa ketenangan ditengah-tengah bandar kota.
 
..
Budak-budak juga suka sekali meleseh dengan aku. Entah kenapa la. Ada yang ketika aku demam, aku diberi ubat panadol entah datang dari mana budak-budak ini T_T alhamdulillah, ikhlasnya kasih sayang mereka tiadalah tandingan.
 
Aku paling tak boleh dengar bila anak-anak ini jumpa aku, dengan mengatakan, "ticer, redhakan ilmu pada saya. Ya? Supaya ilmu ini boleh saya bawa hingga kemana-mana dan boleh diguna sampai bila-bila" Allah~ Bagaimana engkau mahu redha aku? Sedang aku juga entah apa yang diajar pun. Allah~
 
Kerna bila bicara soal redha, banyak juga Allah uji aku soal redha. Redha umi ketika aku ingin mengambil lesen kereta paling terkesan. Bila aku bertanya, umi redha ke? dan dijawabnya, tidak. barulah aku tahu kenapa aku tidak lulus pada awalnya ujian komputer. Umi aku tidak redha atas aku kerna aku tidak memberi apa kepada adik aku entah. Aku lupa. Redha. Dan kemaafan itu adalah kunci segala.
 
..
Maka begitulah rutin aku. Weekdays aku ke sekolah. Weekend aku ke rumah anak yatim untuk mengajar. Di rumah anak yatim ini lebih parah ceritanya. Ada yang menyimpan gambar ibu ayahnya serta adik-adiknya yang dirindukan. Adik-adiknya yang entah mana diletakkan. Allah~ Rindu seorang kakak, kepada adik-adik. Dan dia berharap sangat supaya dijumpakan adik-adiknya suatu hari nanti. Sampai aku berkata, inshaAllah kalau tak didunia, disyurga kelak. Terus mengalir air matanya lalu menangis teresak-esak. ya Allah~ Kalaulah aku sekuat itu.. si kakak, berumur 10 tahun. Bayangkan, adik-adiknya itu lagi kecil dibawah.
 
Entah. Aku banyak belajar hidup dari manusia manusia kecil. Lagi banyak kasih sayang aku belajar, lagi banyak keikhlasan aku belajar. Suci.
 
..
Aku juga sekarang sedang mencari dana-dana untuk membuat projek bersama anak yatim. Underground. Hah. Moga Allah permudahkan.
 
Dan inshaAllah, aku juga sedang belajar bagaimana prosesnya untuk membuat homeschooling. Dan inshaAllah akan menyambungkan pelajaran dalam bidang TESL juga, serta course tambahan homeschooling.
 
Mohon didoakan. Aku punya angan-angan dan cita-cita. Moga aku tak menjadi seperti mat jenin, yang hebat berangan-angan tapi kalah dalam merialisasikan.
 
Dan soal cinta, haha. Tentu sekali aku paling mengecewakan. Ya, bukan lah masa untuk aku fikirkan semua ini. Untuk setahun yang lama tidak menulis, aku mencari diri. Merantau entah berapa negara. Terkadang aku seperti pungguk yang sering kali rindukan bulan. Terkadang aku juga seperti burung yang masih terkurung di dalam sangkar hati dan perasaan.
 
Dan harapnya kian bebas.
 
Tidak perlu terburu-buru. Apalagi dalam urusan perasaan. Karena jikalau itu memang spesial, menunggu lama sekalipun itu tetap berharga.

Tidak perlu cemas apalagi takut. Apalagi dalam urusan perasaan. Karena jikalau itu memang sejati, kita tidak akan cemas walau sesenti, sejauh apapun pergi, dia akan kembali.

....
 
“Kau tahu, hakikat cinta adalah melepaskan. Semakin sejati ia, semakin tulus kau melepaskannya. Percayalah, jika memang itu cinta sejati kau, tidak peduli aral melintang, ia akan kembali sendiri padamu. Banyak sekali pecinta di dunia ini yang melupakan kebijaksanaan sesederhana itu. Malah sebaliknya, berbual bilang cinta, namun dia menggenggamnya erat-erat.”

–Tere Liye, novel ‘Eliana’
 
Peh. Panjangnya aku menulis kini. InshaAllah, tulisan kembara dari akhirnya 2012 hingga kini, kan ku titip di blog blog ini demi hari.
 
Moga Allah redha.

p/s : Hariuku - Hari2aku.
 
p/sssssss : ok juga dengan penggunaan Aku ini. Lebih matang. Kah.
 
Kaget.

1 comment:

Anonymous said...

Plis terus menulis. Terus berikan inspirasi.untuk cinta, terima kasih banyak2! It helps me alot.